Akta Covid-19 mula berkuatkuasa hari ini, apa yang anda perlu tahu tentang akta ini?

Akta Covid-19 mula berkuatkuasa hari ini, apa yang anda perlu tahu tentang akta ini?

Jika ada yang masih tidak tahu, Akta Covid-19 mula berkuatkuasa hari ini. Akta ini digubal untuk mengurangkan kesan Covid-19 terhadap ekonomi individu dan syarikat di negara ini.
Berikut merupakan antara intisari-intisari penting dalam Akta Covid-19:-

1. NAMA PENUH
Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020

2. TEMPOH KUATKUASA
Akta ini mula berkuat kuasa pada 23 Oktober 2020 dan terus kekal berkuat kuasa bagi tempoh 2 tahun dari tarikh itu. Akta ini boleh dilanjutkan oleh Perdana Menteri lebih dari sekali.

3. ISU PELAKSANAAN TANGGUNGJAWAB KONTRAK
Antara isi paling penting.

Seksyen 7 Akta Covid-19 menetapkan bahawa pihak-pihak yang telah memasuki kontrak yang senaraikan dalam Jadual yang mana obligasi kontrak tersebut tidak dapat dilaksanakan kerana penguatkuasaan PKP, pihak yang satu lagi tidak boleh menjalankan haknya di bawa kontrak tersebut.
Senarai kategori kontrak:
a) kontrak kerja pembinaan, consultation dan/atau supply bahan binaan serta pekerja;
b) bon pelaksanaan kontrak pembinaan atau kontrak pembekalan;
c) kontrak perkhidmatan professional;
d) pajakan atau sewaan harta tak alih bukan kediaman;
e) kontrak acara contohnya kontrak penyediaan katering, penginapan, pengangkutan, barangan, perkhidmatan untuk acara-acara seperti mesyuarat, persidangan, pameran, konsert, pertunjukan, perkahwinan, parti, perhimpunan sosial atau sukan;
f) kontrak berkaitan perlancongan;
g) kontrak berkaitan ziarah keagamaan.

Contoh:
Ali dah bayar penuh sebanyak RM 15,000 kepada syarikat EFG untuk uruskan majlis resepsi dia pada 16.4.2020. Bayaran dibuat sejak bulan Februari 2020 lagi.
Selain RM 15,000 tu, Ali juga ada keluarkan perbelanjaan extra sebanyak RM 5,000 buat sewa bas dan duit penginapan untuk orang-orang kampung dia hadiri majlis resepsi dia tu.
Tapi, disebabkan masa tu PKP Fasa 2 baru dimulakan, maka majlis resepsi Ali tidak dapat dilaksanakan.
Jadi, apa yang Ali boleh tuntut hanyalah RM 15,000 sebagai duit yang dibayar kepada syarikat EFG sahaja disebabkan majlis resepsi yang tidak dapat diadakan sebab majlis tidak dapat dijalankan bukan salah mana-mana pihak.
Tetapi Ali tidak boleh tuntut daripada syarikat EFG kerugian RM 5,000 yang dia tanggung untuk sewa bas orang-orang kampung sebab majlis resepsi tak jalan bukan salah syarikat EFG.
Kalau dalam situasi biasa tak melibatkan PKP, jika syarikat EFG yang batalkan majlis resepsi tu, maka Ali boleh tuntut sekali kerugian RM 5,000 tu termasuk dengan RM 15,000.
**Illustrasi di atas adalah interpretasi peribadi penulis untuk tujuan memudahkan pemahaman orang awam sahaja. Seksyen 7 ini masih terbuka kepada interpretasi lain selagi belum dicabar di mahkamah.

4. TEMPOH HAD MASA UNTUK FAILKAN SAMAN
Jika ada tempoh had masa bagi kontrak atau tort, penguatkuasaan ikatan atau award, atau tindakan untuk mendapat kembali apa-apa jumlah wang dari undang-undang bertulis, yang tamat semasa tempoh 18.3.2020 hingga 31 Ogos 2020, tempoh had masa tersebut dilanjutkan sehingga 31.12.2020.

Contoh:
Abu nak saman Ali yang berhutang RM 20,000. Pinjaman diberi pada 4 Mei 2014. Jadi, Abu ada masa 6 tahun untuk saman Ali dan tarikh akhir untuk saman adalah pada 5 Mei 2020.
Dengan berkuatkuasanya Akta Covid-19, Abu ada masa sehingga 31 Disember.2020 untuk saman Ali walaupun sepatutnya dalam keadaan biasa, tarikh akhir adalah pada 5 Mei 2020.
Terpakai juga kepada Sabah dan Sarawak serta Akta Perlindungan Pihak Berkuasa Awam 1948 (untuk saman kerajaan, tempoh masa hanya 3 tahun).

5. ISU KEBANKRAPAN
Petisyen kebankrapan terhadap individu hanya boleh difailkan jika amaun hutang adalah sebanyak RM 100,000 dan ke atas.
Nak ringkas lagi, hutang RM 100,000 baru boleh kena bankrap.
Sebelum ini, amaun hutang untuk tindakan kebangkrapan adalah RM 50,000.

6. ISU BERKENAAN URUSAN SEWA BELI
Jika pembeli gagal untuk bayar ansuran untuk tempoh dari 1 April 2020 sehingga 30 September 2020, pemunya tak boleh ambil balik milikan barang tersebut.

Contoh:
Maznah baru angkat motor NVX pada Januari 2020 lepas dengan menggunakan pinjaman kedai.
Semasa PKP, Maznah telah diberhentikan kerja dan hilang pendapatan. Disebabkan itu, Maznah gagal untuk bayar ansuran motor tersebut sejak bulan Mei hingga Ogos 2020. Lepas bulan Ogos, Maznah dapat kerja baru dan sambung bayar semula pada September 2020.
Sepatutnya dalam keadaan biasa, mengikut Akta Sewa Beli, kalau penyewa gagal bayar ansuran sebanyak 2 kali berturut-turut maka pemunya iaitu kedai motor tersebut sudah boleh tarik balik motor Maznah tu.
Tapi, dengan adanya Akta Covid-19, maka kedai tak boleh tarik motor Maznah sebab bulan yang Maznah tak bayar ansuran tu adalah antara bulan April hingga September 2020.
Tunggakan April hingga Ogos 2020 tu tetap Maznah kena selesaikan juga nanti cumanya kegagalan Maznah untuk bayar ansuran 2 kali berturut-turut dalam tempoh tu tidak menyebabkan motornya diambil milikan semula.

7. ISU PEMBELIAN BARANGAN SECARA ANSURAN
Melibatkan kegagalan membayar ansuran sebanyak 2 kali untuk barangan yang dibeli.
Lebih kurang sama dengan perubahan dalam Akta Sewa Beli tapi hanya terpakai untuk kontrak pembelian sebelum 18.3.2020 dan tiada tunggakan sebelum tarikh tu.
Pengguna juga ada 3 pilihan:-
– Bayar tunggakan kepada pemberi pinjaman;
– Buat penyelesaian awal secara penuh (dapat rebat);
– Tamatkan perjanjian dan pulangkan balik barang yang dibeli.
Pemberi pinjaman kredit juga tidak boleh ambil apa-apa tindakan undang-undang terhadap pengguna untuk dapatkan amaun keseluruhan yang masih belum dijelaskan oleh pengguna.

8. ISU SEWA ANTARA PENYEWA DAN TUAN TANAH
Tindakan Waran Distress.
Waran Distress adalah salah satu cara untuk tuan tanah dapatkan jumlah sewa tertunggak daripada penyewa dengan menyita dan menjual barang-barang milik penyewa.
Perubahan melalui Akta Covid-19, tuan tanah tidak boleh ambil tindakan Waran Distress terhadap penyewa untuk mendapatkan sewa yang tertunggak bagi tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020.

9. ISU PEMAJU PERUMAHAN DAN PEMBELI
Caj pembayaran lewat
Jika pembeli gagal untuk membayar ansuran dalam tempoh 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020, pemaju tidak boleh kenakan apa-apa caj pembayaran lewat.
Pembeli boleh buat permohonan kepada menteri untuk lanjutkan tempoh tiada caj kelewatan pembayaran tersebut sehingga 31 Disember 2020.
Penyerahan milikan kosong rumah dan gantirugi jumlah tertentu (LAD)
Tempoh dari 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 tidak akan dikira untuk pengiraan tempoh serahan milikan kosong rumah ataupun pengiraan gantirugi jumlah tertentu (LAD).
Pemaju boleh buat permohonan kepada menteri untuk lanjutkan tempoh pengecualian tersebut sehingga 31 Disember 2020.
Tempoh Liabiliti Kecacatan
Tempoh dari 18 Mac 2020 hingga 31 Ogos 2020 tidak akan dikira untuk pengiraan tempoh liabiliti kecacatan.
Pembeli boleh buat permohonan untuk lanjutkan tempoh tersebut sehingga 31 Disember 2020.

10. ISU MAJIKAN DAN PEKERJA
Tempoh 60 hari Pemfailan Representasi di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan (APP).
Seksyen 20(1A) Akta APP menetapkan tempoh 60 hari dari tarikh pembuangan kerja untuk pekerja memfailkan representasi terhadap majikan.
Melalui Seksyen 40 Akta Covid-19, tempoh masa dari 18 Mac 2020 sehingga 9 Jun 2020 tidak akan dikira sebagai tempoh 60 hari tersebut untuk failkan representasi.

Contoh:
Maznah dibuang kerja pada 31 Mac 2020. Sepatutnya tarikh akhir untuk Maznah failkan Representasi ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) untuk satu pembuangan kerja secara tidak adil adalah pada 31 Mei 2020.
Tapi dengan adanya Seksyen 40 Covid-19, tarikh pembuangan kerja Maznah akan dikira bermula 9 Jun 2020. Jadi tarikh akhir untuk Maznah failkan Representasi adalah pada atau sebelum 7 Ogos 2020.
*Watak yang digunakan adalah rekaan semata-mata dan tidak merujuk kepada mana-mana individu.

Credit to my learned friend:
Mohamad Nasruddin Ab Rahman
Peguam di Tetuan Nas Rahman & Co.

Sumber :

COMMENTS