Akhirnya Tommy Thomas perincikan apa yang berlaku dalam tuntutan Sulu

Akhirnya Tommy Thomas perincikan apa yang berlaku dalam tuntutan Sulu. Selepas dikecam pelbagai pihak berkaitan isu tuntutan kumpulan Sulu, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas akhirnya tampil memberi penjelasan.

Beliau yang dilantik sebagai Peguam Negara ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Jun 2018 sebelum meletak jawatan pada penghujung Februari 2020, dilapor menulis surat berkenaan kepada peguam lapan individu Sulu.

Kecaman diterima Tommy adalah berhubung surat ditulisnya pada 2019 bagi menyatakan kekesalan kerana Kerajaan Malaysia menghentikan bayaran pampasan tahunan kepada kumpulan Sulu berikutan pencerobohan Lahad Datu pada 2013.

Dalam penjelasannya semalam, Tommy berkata, kandungan Perjanjian 1878 berhubung penyerahan sebahagian besar Sabah oleh Sultan Sulu, Sultan Mohamet Jamal Al-Alam kepada dua wakil dan ejen Syarikat Borneo Utara British dideraf dengan jelas.

Katanya, perjanjian itu mempunyai kesan perundangan yang menujukkan hasrat kedua-dua belah pihak supaya ia dikuatkuasakan mengikut undang-undang.

Akhirnya Tommy Thomas perincikan apa yang berlaku dalam tuntutan Sulu

Beliau menjelaskan, tiada sebarang kandungan utama dalam perjanjian itu yang menunjukkan ia mempunyai maksud samar-samar, sebaliknya jelas menyatakan tanah yang dikenal pasti dalam dokumen berkenaan diserahkan untuk selama-lamanya.

Perenggan dalam perjanjian itu, katanya, tidak boleh ditafsirkan untuk membawa maksud lain, selain ia adalah pemberian secara terang-terangan yang mempunyai kesan undang-undang berhubung pemindahan hak milik tanah terbabit daripada Sultan Sulu kepada Syarikat British.

Tommy berkata, ia bukan pajakan dan tidak pernah bertujuan bagi tempoh sementara dengan pertimbangan bagi penyerahan itu ialah pampasan sebanyak 5,000 dolar setahun, yang secara tersiratnya juga adalah untuk selama-lamanya.

“Jumlah itu adalah tetap dan tidak tertakluk kepada sebarang kenaikan atau semakan. Sepanjang pengetahuan saya, kerajaan tidak menjelaskan secara terbuka pada 2013 mengapa ia menghentikan pembayaran pampasan tahunan kepada pihak yang menuntut (Kumpulan Sulu).

“Penjelasan tidak rasmi diberikan ialah ia berikutan pencerobohan bersenjata pengganas Sulu di Lahad Datu di Sabah pada 2013. Bagaimanapun, tiada bukti boleh mengaitkan pihak menuntut yang menerima pampasan tahunan dengan penceroboh itu.

“Jika kerajaan ada bukti sedemikian, cara yang bijak adalah memfailkan tindakan undang-undang di Mahkamah Tinggi Sabah di Kota Kinabalu bagi mendapatkan perintah bahawa kumpulan itu telah kehilangan hak untuk menerima bayaran pada masa hadapan dan bahawa Perjanjian 1878 tidak lagi berkuat kuasa.

“Jika itu berlaku, tindakan kerajaan untuk menghentikan pembayaran akan dibenarkan mahkamah, malangnya pihak yang bertanggungjawab ketika itu tidak mengambil langkah ini,” katanya.

Katanya, tanpa sebarang alasan menghentikan pembayaran kepada pihak yang menuntut selepas 50 tahun dan tanpa meminta kebenaran mahkamah, kerajaan sudah memungkiri perjanjian berkenaan dan pihak menuntut berhak bagi pelaksanaan spesifik melalui perjanjian yang dipertikaikan itu.

“Ia secara praktikalnya bermaksudMalaysia mesti membayar tunggakan pampasan tahunan sebanyak RM5,300 daripada 2013 hingga 2022 dan mengaku janji untuk membayar jumlah sama setiap tahun selepas itu,” katanya lagi.

Thomas memberi penjelasan mengenai pertikaian antara kumpulan Sulu dan kerajaan yang membawa kepada aset dua anak syarikat PETRONAS di Azerbaijan dirampas kumpulan itu yang dikatakan menuntut AS$14.92 bilion (RM62.59 bilion) daripada Malaysia, seperti dilaporkan Financial Times.

Menurutnya, perbincangan awam mengenai isu berkenaan dicemari dengan pelbagai maklumat salah dan penipuan.

Bagaimanapun, Thomas berkata, oleh kerana perjanjian itu tidak menyatakan sebarang klausa berhubung penimbang tara dan oleh kerana Pejabat Konsul Her Britannic Majesty bagi Borneo sudah tidak wujud, forum paling sesuai untuk menyelesaikan pertikaian adalah mahkamah di Sabah.

Katanya, keputusan yang diputuskan oleh mana-mana forum lain yang dikata menjalankan bidang kuasa terhadap pertikaian ini adalah tidak sah dan sepatutnya tidak diendahkan sepenuhnya oleh kerajaan.

Selanjutnya, beliau berkata, kerajaan memohon untuk mengetepikan semua keputusan Mahkamah Tinggi Madrid, termasuk pelantikan penimbang tara, Dr Gondoza Stampa (yang membenarkan tuntutan kumpulan Sulu), di mana mahkamah Sepanyol pada 21 Jun tahun lalu berpihak kepada Malaysia dengan mengetepikan semua keputusan sebelum ini oleh Mahkamah Tinggi.

BACA:

BINGKAS : Bantuan kewangan RM3,600 disediakan bagi tangani kos sara hidup

Beberapa pemaju perumahan terbengkalai dapat tempoh pengecualian

Puting beliung dipenuhi nyamuk, fenomena yang menggerunkan