Adil untuk semua jadi teras ‘rahmatan lil ‘alamin’

Adil untuk semua jadi teras ‘rahmatan lil ‘alamin’

Tokoh kemerdekaan negara, Ahmad Boestamam menyebut, “Keadilan sosial adalah satu sendi, satu syarat yang utama dan penting untuk menentukan tulen atau tidaknya demokrasi yang dijalankan oleh satu-satu negara itu.” Kata-kata ini dapat disimpulkan betapa pentingnya nilai keadilan sosial di dalam sesebuah negara demokrasi. Ini bermakna, demokrasi di sesebuah negara tidak akan wujud tanpa wujudnya keadilan sosial yang merangkumi kepentingan semua rakyat di dalam negara tersebut.

Apakah yang dimaksudkan dengan keadilan sosial? Keadilan sosial dapat difahami sebagai pembahagian kuasa atau sumber secara adil dan saksama di dalam masyarakat tanpa mengira bangsa, etnik, umur, jantina, status, latar belakang agama atau budaya. Namun bagi Ahli Falsafah terkenal iaitu John Rawls, beliau mentakrifkan keadilan sosial dengan maksud yang cukup ringkas iaitu “Justice is Fairness.” Fairness yang dimaksudkan ini ialah bagaimana masyarakat dapat mengagihkan bukan hanya sumber tetapi juga hak kepada rakyat. Ini termasuklah hak kebebasan rakyat sama ada kebebasan bersuara, pendidikan, pekerjaan, dan juga kesihatan.

Oleh itu, terdapat dua prinsip utama keadilan sosial yang digariskan oleh Rawls iaitu (i) keserataan hak dan kebebasan termasuklah undang-undang dan (ii) sosio-ekonomi yang adil. Kedua-dua prinsip inilah merupakan prinsip asas keadilan sosial yang perlu wujud di dalam sesebuah negara demokrasi. Ini bermakna, tertegaknya sebuah negara demokrasi adalah berpaksikan kepada nilai keadilan sosial yang wujud di dalam negara. Dengan wujudnya keadilan sosial, sudah pasti sebuah masyarakat yang teratur atau well-ordered society akan terbentuk seperti yang dijelaskan oleh Rawls.

Islam juga tidak menolak keadilan sosial bahkan Islam merupakan agama yang mengangkat keadilan sosial di dalam masyarakat. Ulama terkenal Nusantara iaitu HAMKA dalam karyanya “Keadilan Sosial Dalam Islam” menjelaskan Islam datang untuk memperbaiki masyarakat dengan mengangkat keadilan sosial sebagai sendi pertama sosial di dalam masyarakat. Bagi HAMKA, tidak mungkin kaum Muslimin menolak keadilan sosial kerana keadilan sosial itu adalah merupakan praktik hidup seharian umat Islam. Sebagai contoh, Zakat merupakan salah satu cabang daripada keadilan sosial yang paling utama di dalam Islam.

Risalah Islam yang dibawa Nabi Muhammad SAW berpaksikan konsep Rahmatan lil a’lamin menekankan agenda keadilan sosial melalui perjuangan menghapuskan diskriminasi gender dan amalan penghambaan serta membantu insan yang tertindas. Surah al-Ma’un menyatakan golongan yang mendustai agama termasuk mereka yang tidak membantu orang miskin dan enggan menghulurkan pertolongan yang merupakan penekanan kepada konsep keadilan sosial di dalam Islam. Pelopor agenda keadilan sosial Saidina Hussein bin Ali RA sanggup mengorbankan nyawanya demi mempertahankan perjuangan ini. Kalimat agongnya akan sentiasa menjadi inspirasi kepada pejuang-pejuang kebenaran “Biar mati bermaruah daripada hidup dihina”.

Di Malaysia, asas-asas keadilan sosial telah diperkukuhkan dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan yang merupakan kontrak sosial rakyat dan undang-undang tertinggi negara. Perkara 8 (1) menjamin layanan sama rata rakyat di sisi undang-undang dan juga berhak mendapat perlindungan yang sama rata di sisi undang-undang. Selain itu, Perkara 12 (1) pula memberikan hak di dalam pendidikan kepada semua rakyat Malaysia tanpa wujudnya diskriminasi atas alasan agama, ras, keturunan, atau tempat lahir.

Walaupun asas kepada keadilan sosial wujud di Malaysia khususnya di dalam Perlembagaan Persekutuan, namun yang menghalang daripada wujudnya keadilan sosial tersebut ialah pelaksanaan yang tidak menepati keadilan sosial yang diharapkan. Kesenjangan ekonomi yang semakin melebar antara yang kaya dan miskin serta kehidupan orang Melayu yang masih ketinggalan walaupun Melayu menguasai setiap sudut peluang ekonomi dan institusi besar perniagaan menunjukkan urus tadbir yang lemah dalam negara.

Begitu juga ketidakseimbangan pembangunan dan kemudahan menunjukkan kegagalan polisi yang digariskan kerajaan. Negara tidak boleh maju jika ketidakadilan sosial masih wujud dalam konteks pembangunan dan kemudahan sehinggakan video oleh insan muda Veveonah Mosibin menaikkan kemarahan rakyat. Ketidakadilan sosial juga dapat dilihat dalam aspek kedaulatan undang-undang di dalam negara. Mengapa seorang Menteri Kabinet yang didakwa melanggar perintah kuarantin wajib 14 hari selepas pulang dari luar negara hanya dikenakan denda RM1000 sedangkan seorang rakyat biasa yang digelar “Mak Cik Gelang Pink” yang melanggar undang-undang yang sama dijatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM8000.

Amalan federalisme antara kerajaan persekutuan dan negeri juga tidak mengutamakan keadilan sosial apabila kerajaan persekutuan membatalkan peruntukan RM100 juta bagi projek naiktaraf kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang setelah kudeta oleh Perikatan Nasional (PN) menguasai Putrajaya. Begitu juga kegagalan kerajaan PAS di Kelantan yang gagal memanfaatkan kedudukan di Putrajaya untuk menyediakan bekalan air bersih dan perlu menunggu hingga tahun 2030 untuk diselesaikan. Di samping itu, kealpaan kerajaan Negeri Kelantan yang mengutamakan pembeli Mercedes berbanding membina rumah percuma kepada rakyat sepertimana skim Rumah Peduli di Melaka ketika pentadbiran PH dahulu mencabar kejujuran pelaksanaan keadilan sosial dalam pentadbiran PAS?

Benarlah kata-kata Muhammad Abduh yang melihat Islam di Barat. Kita boleh belajar daripada negara-negara maju yang mempunyai indeks keadilan sosial yang jauh lebih tinggi daripada negara kita. Negara-negara maju seperti Iceland, Norway, Denmark, Finland, mahupun Sweden adalah negara contoh terbaik dalam pelaksanaan keadilan sosial di negara-negara tersebut termasuk dalam aspek pencegahan kemiskinan, kesaksamaan pendidikan, akses pasaran buruh, penyertaan sosial tanpa diskriminasi, keadilan antara generasi dan kemantapan kesihatan. Aspek-aspek ini jauh lebih terkehadapan daripada negara kita yang masih banyak yang perlu diperbaiki khususnya dalam aspek pelaksanaan.

Kegagalan negara mengangkat dan melaksanakan keadilan sosial akan memberikan kesan buruk kepada rakyat dan negara. Ini akan menyebabkan wujudnya kesenjangan ekonomi yang semakin melebar, pencabulan hak yang membawa kepada wujudnya kezaliman, tiada jaminan keselamatan, dan membawa negara ke arah pemerintahan autokratik. Oleh kerana itulah setiap polisi atau dasar yang dirancang oleh kerajaan perlu mengambil kira aspek keadilan sosial yang menyeluruh dan inklusif. Dengan keadilan sosial yang menyeluruh, sudah pasti kita mampu menjadi negara yang maju dari aspek politik, ekonomi, dan juga sosial. Islam akan dilihat tertinggi dengan pelaksanaan agenda keadilan sosial di dalam tatakelola negara.

Atas premis ini, saya percaya kerajaan PH Pulau Pinang telah menunjukkan keadilan sosial dimanifestasikan dengan pelbagai polisi. Sebagai contoh, peruntukan khas berkaitan pandemik Covid-19 sebanyak RM30,000 kepada semua Adun Pulau Pinang baik pemerintah mahupun pembangkang menunjukkan tiadanya diskriminasi diamalkan kerana kepentingan rakyat lebih diutamakan. Begitu juga Pakej Bantuan Khas bernilai RM155.5 juta secara kumulatif menerusi pakej rangsangan ekonomi negeri Peka 1.0, 2.0 dan 2.1. Saya percaya bantuan ini telah membantu mengurangkan impak COVID-19, terutamanya golongan B40 dan perusahaan kecil sederhana (PKS). Justeru, rakyat Malaysia harus bersikap adil dalam menilai pihak mana yang jujur dan mampu melaksanakan keadilan sosial bagi mencapai kemakmuran bersama.

*Petikan Deraf Ucapan FAIZ FADZIL Dalam Perbahasan Dun Pulau Pinang Berkaitan Bajet 2021 Pada 15 Oktober 2020

COMMENTS