7 alat tulis ikonik zaman dahulu

Zaman sekarang, peralatan alat tulis sekolah rendah sudah jadi terlalu mudah untuk dibeli. Jika bajet besar, bolehlah dapatkannya di pasaraya. Jika bajet anda kecil, kualiti peralatan di kedai RM2 pun masih boleh diterima.

Kesenangan yang semakin dirasai masyarakat kita membuatkan pelajar zaman sekolah mudah mendapat akses kepada peralatan sekolah yang mencukupi. Dua ke tiga dekad dahulu, ketiadaan pelbagai variasi peralatan sekolah menyebabkan ramai pelajar berkongsi minat alat tulis yang serupa.

Jom saksikan tujuh alatan sekolah yang ikonik satu ketika dulu, bagi kanak-kanak di Malaysia.

7. Pensil kaler Luna.

Dari dulu sampai sekarang, pensil warna LUNA yang menampilkan gambar kapal layar di kotaknya menjadi idaman pelajar. Namun kini terdapat dua versi LUNA yang ada.

Versi baru mempunyai corak pensil sekata sementara versi tradisional yang masih dijual, mengekalkan corak jalur-jalur pada setiap batang pensilnya. Yang sekata, murah harganya. Yang tradisional, harganya masih mahal. Kualitinya harus diakui, ketara berbeza.

7 alat tulis ikonik zaman dahulu
6. Pilot The Shaker.

Pensil keluaran syarikat Jepun Pilot ini, satu ketika dulu adalah idaman semua. Ini kerana berbanding dengan pensil mekanikal jenama lain, pensil ini hanya memerlukan penggunanya menggoncangkan badan pensil tersebut untuk mengeluarkan matanya.

Mekanisme tersebut membolehkan mereka yang mempunyai jari yang lebih pendek, mudah untuk mengeluarkan mata tanpa perlu mengalihkan ibu jari dan mengganggu kelancaran menulis.

5. Pensil box bertingkat.

Zaman sekolah dulu, siapa yang mampu pakai kotak pensil bertingkat siap ada pengasah pensil dan ruangan-ruangan tersorok memang orang yang berkemampuan.

Datang dengan ilustrasi logo kartun popular yang dicetak besar kemungkinan tanpa kebenaran, kotak pensil bertingkat adalah simbol status pelajar. Bila ada dua atau tiga kotak pensil sebegini, mesti ada yang ambil buat main perang-perang.

7 alat tulis ikonik zaman dahulu

4. Pemadam logo negara/negeri.

Sebelum ada pemadam-pemadam lebih moden zaman sekarang, kebanyakan pelajar di sekolah gemar menggunakan pemadam yang memaparkan bendera-bendera negaradunia dicetak dibadannya.

Kalau kaki bola, dia mesti pilih bendera Brazil atau England. Nak dapat bendera Malaysia ikut nasib. Selalunya cepat disambar pelajar lain.

3. Pengasah pensil bulat cermin.

Pengasah pensil ini adalah antara peralatan paling popular di kalangan pelajar, kerana praktikalitinya. Selain mampu mengasah pensil, cermin kecil yang ada juga boleh digunakan untuk memeriksa wajah agar rambut kekal rapi dan pelajar wanita lain nampak kita cool.

Bagaimanapun, populariti produk ini tetap tidak menutup kelemahannya. Badan pengasah yang memegang cermin tu mudah pecah sehingga mengakibatkan cermin mudah terkeluar dan skru yang pegang mata pisau pada badan pengasah, mudah hilang.

2. Kad nama.

Mempunyai banyak pilihan, pembeli kad ini boleh memilih pelbagai jenis corak yang akan dicetak pada kad nama kita. Biasanya meliputi visual berkait hiburan, animasi, pemandangan atau sukan, satu set rasanya 20 keping dijual pada harga RM4.90.

Memang ramai sanggup tak makan waktu rehat semata-mata nak kumpul duit pesan kad ni.

1. Pemadam merah biru

Sehingga ke hari ini pemadam merah biru ini menimbulkan misteri kepada orang ramai. Apa sebenarnya tujuan bahagian biru pemadam itu dibuat? Ramai kanak-kanak zaman dahulu menganggap biru itu untuk kita memadam tulisan dengan pen. Habis koyak buku kita dibuatnya.

Bagaimanapun selepas era informasi, barulah kita tahu bahagian merah yang lembut adalah untuk memadam tulisan hasil pensil pada kertas lembut dan bahagian biru tu pula adalah untuk memadam tulisan pensil yang dibuat pada kertas lebih kasar.

Tetapi apa yang menjadi misteri, ada juga pengeluar yang mencetak indikator bagi memudahkan penggunaanya; merah dicetak indikator pensil dan biru pula dicetak dengan logo pen. Misteri betullah.

BACA JUGA:
7 tempat di Amerika paling seram
7 jenama air kosong paling mahal
7 filem seram daripada kisah sebenar