60 pendatang Rohingya gagal masuk Malaysia, berjaya diusir

60 pendatang Rohingya gagal masuk Malaysia, berjaya diusir. Cubaan membawa masuk seramai 60 pendatang asing etnik Rohingya ke negara ini gagal apabila kesemua mereka diusir pada 1 September lalu dalam operasi REDBACK XVII 2022 yang dijalankan bermula 26 Ogos hingga 9 September.

Tindakan itu dikesan ketika Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dengan kerjasama Australian Border Force (ABF) sedang menjalankan operasi tersebut.

Timbalan Ketua Pengarah Operasi Maritim Malaysia, Laksamana Muda Maritim Hamid Mohd Amin berkata, pendatang asing tersebut dikesan cuba masuk ke negara ini pada kedudukan 3.0 batu nautika barat Sungai Pinang.

Menurutnya, operasi tersebut turut menahan lapan pendatang asing tanpa izin warga Myanmar di sekitar perairan Pulau Pinang kerana tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri di bawah Akta Imigresen 1959/63.

“Sebanyak 13 bot nelayan asing Indonesia juga berjaya diusir keluar dari perairan negara dengan bantuan Tentera Laut Diraja Malaysia hasil pengesanan yang dilakukan oleh pesawat Maritim Malaysia CL 415MP pada kedudukan 67 batu nautika Barat Daya Pulau Kendi pada 5 September lalu.

60 pendatang Rohingya gagal masuk Malaysia, berjaya diusir

“Sebanyak 178 pemeriksaan dan penggeledahan ke atas vesel-vesel di laut, tiga tangkapan dan dua pengusiran telah dilaksanakan sepanjang operasi dijalankan,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata beliau, operasi tersebut dilaksanakan oleh 60 anggota dengan melibatkan tiga aset laut.

“Operasi REDBACK ini merupakan inisiatif kerjasama antara Maritim Malaysia dan ABF dalam usaha mengekang, membanteras dan memerangi aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan yang berteraskan memorandum persefahaman bersama antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Australia berkaitan bantuan serta kerjasama melibatkan operasi dan penguatkuasaan Maritim yang ditandatangani bersama pada 12 Julai 2011.

“Secara keseluruhannya, kerjasama ini memfokuskan kepada persetujuan bersama dalam membanteras jenayah penyeludupan dan pemerdagangan manusia termasuk dadah serta aktiviti jenayah rentas sempadan melalui perairan,” kata beliau.

Hamid berkata, sepanjang dua minggu operasi berkenaan, Maritim Malaysia dan ABF telah melaksanakan program ‘community outreach’ dengan menyampaikan penjelasan secara santai, mengedarkan risalah dan poster, menyantuni komuniti maritim setempat di beberapa lokasi iaitu Kuala Sungai Juru, Telok Kumbar dan Kuala Sungai Pinang.

“Di samping itu juga, mesej-mesej positif dan peringatan berkaitan jenayah rentas sempadan turut dipaparkan melalui papan tanda, kain rentang serta poster di lokasi-lokasi strategik di sekitar Pulau Pinang.

“Dalam masa sama, ABF juga melaksanakan program perkongsian ilmu kepada pegawai dan anggota Maritim Malaysia melalui bengkel penguatkuasaan yang dihadiri 28 orang yang melibatkan peserta daripada agensi sahabat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta Jabatan Laut Malaysia (JLM),” katanya.

Jelas beliau lagi, rondaan rutin, pemeriksaan serta pemantauan sempadan perairan dan titik panas akan terus dilaksanakan sepanjang tempoh ini.

BACA:

Gara-gara bantu bela anak luar nikah kawan, wanita berdepan hukuman penjara

Majikan tersilap masuk gaji RM800 ribu, pekerja terus letak jawatan

Rupanya ini fungsi penutup plastik bawah enjin, ingatkan hiasan