42 ekor lembu diimport dari Thailand didapati ada jangkitan LSD

42 ekor lembu diimport dari Thailand didapati ada jangkitan LSD

Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesan 42 lembu import dari Thailand dijangkiti penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) ketika dikuarantin di stesen kuarantin berdaftar di Bukit Kayu Hitam, Kedah, 26 April lalu.

Pengarah MAQIS Kedah, P Lily Rosalind, berkata lembu itu adalah sebahagian daripada 1,434 ekor yang dibawa dari Thailand dan perlu dikuarantinkan terlebih dahulu sebelum dibenarkan masuk ke dalam negara.

“Semasa tempoh kuarantin, beberapa sampel telah diambil daripada lembu berkenaan dan diuji di Makmal Kesihatan Awam Veterinar dan hasil ujian makmal serta tanda-tanda klinikal mendapati, 42 ekor lembu didapati positif untuk pengesanan penyakit LSD,” katanya menurut laporan Bernama.

Lily berkata, setakat ini terdapat dua premis kuarantin di Kedah dan Kelantan yang menempatkan ternakan lembu diimport dari Thailand yang menunjukkan tanda klinikal penyakit LSD.

Berikutan itu, katanya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar meminta pihaknya memanjangkan tempoh kuarantin daripada 14 kepada 28 hari untuk memantau lebih rapi ternakan import berkenaan.

“Prosedur ujian ini dilakukan bagi mencegah penularan wabak penyakit dan dikhuatiri jika tidak dikawal boleh menyebabkan industri ternakan ruminan negara terjejas. Semua lembu yang positif penyakit LSD ini telah ditahan dan dikuarantinkan dengan pemantauan rapi,” katanya.

Mengulas lanjut, Lily berkata punca penyakit LSD adalah disebabkan virus Poxviridae dan disebarkan melalui gigitan serangga seperti nyamuk dan lalat dan penyakit itu mempengaruhi kesihatan haiwan serta boleh menjejaskan ternakan lembu dalam negara.

“MAQIS akan terus komited bagi memastikan tumbuhan, binatang, karkas, ikan, keluaran pertanian, tanih, mikroorganisma dan makanan yang diimport bebas daripada ancaman perosak, penyakit, bahan cemar dan tidak menjejaskan sektor pertanian negara serta mematuhi aspek kesihatan manusia dan keselamatan makanan,” katanya.

Berita Penuh :https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2021/06/02/42-lembu-import-dari-thailand-dijangkiti-lsd/

COMMENTS