3 Exco kerajaan tewas dalam pemilihan Pas

3 Exco kerajaan tewas dalam pemilihan Pas

3 Exco kerajaan tewas dalam pemilihan Pas.Tiga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) tewas dalam pemilihan PAS kawasan masing-masing yang telah diadakan serentak di seluruh Terengganu, Sabtu lalu.

Paling mengejutkan, ADUN Paka yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, YB Ustaz Satiful Bahri Mamat tewas merebut jawatan Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Dungun selepas dicabar Pegawai Penyelidik Kepada Menteri Besar Terengganu, Ustaz Azman Shapawi Abdul Rani.

Satiful Bahri yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sejak 2017 itu pernah dipilih sebagai Pesuruhjaya PAS negeri antara 2013 hingga 2017 sebelum ‘diturunkan pangkat’ menjadi Timbalan Pesuruhjaya II sejak 2017 hingga kini.

Sementara itu, ADUN Jabi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, YB Dr Azman Ibrahim tewas kepada pencabarnya iaitu Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Ustaz Zul Bahri A Rahman dalam mempertahankan jawatan Timbalan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Setiu.

Kekalahan ‘nama besar’ dalam PAS itu turut menjadi tanda tanya kerana Azman merupakan Ahli Jawatankuasa PAS pusat dan Penolong Setiausaha II PAS negeri ketika ini serta dilantik Pengerusi Kenaf dan Tembakau Negara pada tahun 2020.

Selain itu, ADUN Kuala Berang yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, YB Dr Mamad Puteh tewas kepada Pengarah sebuah agensi negeri, Ustaz Kamaruzaman Abdullah dalam merebut jawatan Naib Yang Di-Pertua PAS Kawasan Hulu Terengganu.

Turut ditolak oleh majoriti perwakilan PAS kawasan itu pada pemilihan parti Sabtu lalu ialah Setiausaha Politik Kepada Menteri Besar, Muhyiddin Abdul Rashid.

Muhyiddin yang juga Setiausaha PAS negeri gagal mempertahankan jawatan Yang Di-Pertua PAS Kawasan Hulu Terengganu yang disandang beliau sejak 2013 apabila tewas kepada pencabarnya, YB Ustaz Maliaman Kassim yang juga ADUN Ajil.

Sumber: https://www.terengganureport.com/2021/10/tiga-yb-exco-terengganu-su-politik-mb.html?m=1

BACA: Pemuda Malaysia pecah rekod di Australia, ditahan bawa dadah bernilai RM431 juta

COMMENTS