270,000 pencarum mahu pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan

270,000 pencarum mahu pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan. Desakan hidup yang sukar kerana inflasi, pengurangan pendapatan tidak seimbang dan tunggakan hutang pasca pandemik Covid-19, itu antara alasan menyebabkan lebih 270,000 pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) memohon kerajaan mempertimbangkan pelaksanaan pengeluaran KWSP 2.0 bersasar.

Presiden Pertubuhan Gagasan Inovasi Rakyat (PGIR) Azmi Mohd Tahir berkata, aduan terbabit diterima melalui borang dalam talian bermula Julai hingga November lalu dan mendesak kerajaan meluluskan tuntutan bersasar itu.

Menurutnya, pengeluaran bersasar itu secara one off (sekali bayar) melalui akaun satu sahaja membabitkan pencarum suri rumah dan ibu tunggal yang tiada kerja tetap dan tidak aktif mencarum mengeluar semua wang bagi kelangsungan hidup.

“Selain itu, bekas pekerja swasta diberhentikan yang tidak lagi mencarum selepas diberhentikan, berhenti secara sukarela dan sukar mendapat kerja kerana usia serta kesihatan juga dibenarkan keluar keseluruhan wang simpanannya.

“Manakala pencarum yang masih aktif mencarum berusia 54 tahun dan ke bawah yang mempunyai simpanan dalam akaun satu melebih RM20,000 dibenar mengeluarkan 30 peratus dari akaun satu mengikut keperluan.

270,000 pencarum mahu pengeluaran KWSP bersasar dibenarkan

“Pencarum masih aktif mencarum yang ada baki simpanan sebanyak RM19,999.99 ke bawah dalam akaun satu dibenarkan mengeluarkan keseluruhan dan meninggalkan RM200 dalam akaun satu dan dua,” katanya, di sini, hari ini.

Azmi berkata, tuntutan itu membabitkan semua kategori pencarum tidak kira usia dari 54 tahun ke bawah selagi mempunyai simpanan untuk kelangsungan hidup mereka yang terkesan.

“Pencarum di Selangor mencatatkan jumlah tertinggi yang mahu kerajaan mempertimbangkan pengeluaran KWSP diikuti Johor dan Perak. Usia paling tinggi pula antara 36 hingga 45 tahun yang kebanyakannya mempunyai anak yang sedang membesar dan belajar di peringkat tertinggi.

“Alasan paling banyak diberikan adalah kerana mereka perlu menampung perbelanjaan isi rumah tinggi kerana inflasi dan kenaikan harga barang.

“Selain mahu menyelesaikan tunggakan hutang yang tak dapat diselesaikan sepenuhnya ketika pengeluaran RM10,000 pada April lalu selain pendapatan mereka sudah berkurang,” katanya.

Beliau mendakwa, semua yang memohon tuntutan itu adalah mereka yang sangat memerlukan dan KWSP juga pastinya mempunyai mekanisme bagi mengenal pasti mereka yang layak mendapat inisiatif itu melalui pemeriksaan kadar caruman dan tempoh mencarum individu itu.

“Kami sudah mengadakan perjumpaan dengan Majlis Senator Malaysia dan bertemu Timbalan Presidennya, Datuk Razali Idris bersama tiga ahli majlis lain pada 15 Ogos lalu dan memberikan hujah secara tuntas mengenai tuntutan ini, pihak berkenaan juga bersetuju dengan usul kita,” katanya.

Menurut Azmi, justeru itu pihaknya juga sudah menghantar surat permohonan kunjungan hormat kepada Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa suara rakyat.

“Kita juga sudah menyerahkan surat itu secara terus kepada wakilnya ketika di Tambun, baru-baru ini. Kita sangat berharap dapat jawapan balas secepat mungkin untuk bertemu beliau.

“Ini semua untuk pencarum KWSP yang sangat memerlukan ketika ini dan kami berharap Datuk Seri Anwar dapat memberi perhatian sekali gus meluluskan tuntutan ini,” katanya.

BACA:

Annuar Musa nama disebut-sebut antara dipecat oleh UMNO

Ibu rayu kerajaan Malaysia buat sesuatu, anak dipenjara seumur hidup di Bangladesh

UMNO pecat Ketua Bahagian, 2 Ketua Wanita